Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Carian Kisah Sahabat Nabi

4 Jan 2009

Keislaman Abu Zar Ghifari r.a

Abu Zar Ghifari r.a ialah seorang sahabat yang masyhur yang akhirnya telah menjadi salah seorang daripada ahli zuhud dan ulama yang hebat. Ali r.a berkata, “Abu Zar r.a telah memperoleh ilmu yang tidak mampu diperoleh oleh orang lain. Bahkan beliau telah menjaga ilmu-ilmu dengan baik.”

Apabila berita kenabian Muhammad S.A.W sampai kepadanya. Maka beliau menghantar saudaranya ke Mekah untuk memisahkan kebenaran dan mengambil maklumat tentang seorang yang mendakwa menerima wahyu serta mendapat berita dari langit. Beliau juga menyuruh saudaranya itu supaya menyelidik keadaan orang itu dan mendengar kata-katanya dengan penuh perhatian. Saudaranya itu pun datang ke Mekah Mukarramah dan setelah menyelidik keadaan orang itu dia telah kembali kepada Abu Zar r.a dan menerangkan, “Saya melihat dia menyeru kepada perangai yang baik dan akhlak yang mulia. Saya juga mendengar daripadanya kata-kata yang bukannya syair dan tidak juga percakapan tukang nujum.”

Abu Zar r.a masih belum berpuas hati dengan laporan ringkas itu. Beliau sendiri menyediakan bekalan dan pergi sendiri ke Mekah dan terus pergi ke Masjidil Haram. Beliau belum mengenali Nabi S.A.W dan untuk bertanya kepada sesiapa beliau merasakan bertentangan dengan muslihat beliau. Beliau berada dalam keadaan serba salah sehingga ke masa petang.

Apabila waktu petang, Ali r.a telah melihat beliau yang merupakan seorang musafir asing. Mengambil tahu dan memenuhi keperluan musafir, orang miskin serta orang asing telah menjadi kebiasaan para sahabat r.a. Oleh sebab itu, Ali r.a telah membawa Abu Zar r.a ke rumahnya. Sungguhpun Ali r.a telah melayaninya dangan makan minum dan tempat tidur namun sedikitpun beliau tidak berasa perlu untuk bertanya tentang diri musafir itu atau tentang sebab kedatangannya ke situ. Musafir itu pun tidak meluahkan apa-apa.

Pada pagi keesokkan hari, sekali lagi Abu Zar r.a pergi ke Masjid. Sepanjang hari itu beliau habiskan dalam keadaan demikian yakni beliau sendiri tidak mengenali sesiapa dan beliau dan beliau juga tidak bertanya kepada orang lain. Mungkin kerana berita permusuhan orang ramai terhadap Nabi S.A.W sangat masyhur. Bermacam-macam kesusahan dikenakan ke atas Baginda serta orang yang datang bertemu Nabi. Beliau berfikir bahawa dengan bertanya kepada sesiapa, mungkin beliau tidak akan mendapat maklumat yang betul sebaliknya akan menimbulkan buruk sangka. Lebih baik beliau menyelamatkan diri daripada bahaya yang sia-sia dengan tidak bertanya.

Pada petang hari kedua pun Ali r.a telah teringatkan beliau, seorang musafir yang belum selesai tujuan kedatangannya. Oleh itu sekali lagi Ali r.a membawa tetamu tersebut pulang ke rumahnya. Beliau juga telah menyediakan makanan dan menyediakan makanan dan menyediakan tidurnya untuknya tetapi malam itu pun beliau tidak bertanya apa-apa kepada Abu Zar r.a.

Pada malam ketiga pun itulah keadaan yang berlaku lalu Ali r.a telah bertanya, “Kamu datang untuk urusan apa? Apakah maksud kedatanganmu?”

Abu Zar r.a meminta supaya Ali r.a bersumpah dan berjanji supaya memberitahu meklumat yang sebenar. Selepas itu baru beliau memberitahu tujuannya. Ali r.a berkata, “Baginda S.A.W sememangnya Rasul Allah. Esok ikutlah saya pergi berjumpa Nabi. Saya akan tunjukkan kamu ke sana. Walaubagaimanapun, sekarang ini penentangan sedang hebat. Oleh sebab itu, dalam perjalanan nanti sekiranya saya menemui seseorang yang mungkin akan melakukan sesuatu terhadap kamu kerana kamu berjalan bersama saya maka saya akan berpura-pura membuang air kecil ataupun saya akan berpura-pura membetulkan kasut saya. Sementara itu kamu berjalanlah terus, jangan berhenti bersama saya. Dengan ini orang tidak akan tahu yang kamu bersama saya.”

Oleh itu, pada keesokan pagi beliau telah mengikut Ali r.a sehingga sampai ke sisi Nabi S.A.W, setelah sampai di sana maka berlaku perbualan antara beliau dengan Baginda dan beliau telah memeluk Islam pada masa itu juga. Oleh kerana bimbangkan kesusahan beliau, Nabi S.A.W telah bersabda, “Jangan zahirkan dahulu keislamanmu sekarang. Kembalilah kepada kaummu secara sembunyi. Apabila kami telah menang barulah datang kembali.”

Beliau telah berkata, “Wahai Rasulullah, demi zat yang jiwa saya dalam genggaman-Nya. Saya akan laungkan kalimah tauhid ini ditengah-tengah mereka yang tidak beriman itu.”

Lalu pada masa itu juga beliau telah pergi ke Masjidil Haram dan dengan suara yang lantang telah melaungkan kalimah Syahadah.

Kemudian, apakah yang telah berlaku? Orang ramai bangun dari keempat-empat penjuru dan mula memukul beliau dengan teruk sehingga mencederakannya dan beliau hampir mati. Bapa saudara Nabi S.A.W Abbas r.a yang pada masa itu masih belum memeluk Islam telah membaringkan diri di atas badan beliau untuk menyelamatkannya. Abbas r.a telah berkata kepada orang ramai, “Kenapa kamu menzalimi dia? Orang ini daripada kabilah Ghifar dan kabilah itu tinggal dalam perjalanan kita ke Sham. Perniagaan dan urusan kita yang lain semuanya dengan negeri Sham. Sekiranya dia mati maka jalan laluan kita ke Sham akan tertutup.

Disebabkan saranan itu orang ramai pun mula berfikir bahawa sememangnya dari negeri Sham segala keperluan mereka disempurnakan. Tertutupnya jalan ke sana merupakan 1 musibah, oleh sebab itu, mereka telah membiarkan beliau.

Demikian jugalah yang berlaku pada keesokkan hari. Beliau pergi dan melaungkan kalimah syahadah dengan suara yang lantang dan orang ramai tidak dapat menahan sabar setelah mendengar kalimah tersebut lalu menerkam beliau. Pada hari kedua itu pun, Abbas r.a juga menyelamatkan beliau dengan menerangkan bahawa jalan perniagaan mereka akan tertutup.


Keterangan

Perbuatan Abu Zar r.a itu ialah kerana semangat dan dorongan untuk menzahirkan yang haq (benar) walaupun diarahkan oleh Nabi S.A.W supaya menyembunyikan keislamannya. Apabila agama ini ialah agama yang benar maka siapakah lagi yang perlu ditakuti sehingga agama yang benar ini perlu disembunyikan? Manakala larangan Rasul Allah ialah semata-mata kerana keprihatinan Baginda S.A.W terhadap beliau. Mungkin Abu Zar r.a tidak mampu menanggung segala kesusahan. Sekiranya tidak kerana alasan itu maka tidak mungkin seorang sahabat akan melanggar perintah Nabi S.A.W. Oleh kerana Rasul Allah sendiri menanggung segala jenis penderitaan dalam menyebarkan agama maka Abu Zar r.a lebih mengutamakan hasrat untuk mengikuti Baginda daripada kesenangan beliau.

Inilah satu-satunya perkara yang menyebabkan kemajuan agama dan dunia datang tersungkur pada kaki para sahabat r.a dan mereka dapat menguasai setiap medan. Sesiapa sahaja yang telah mengucap kalimah syahadah dan masuk di bawah naungan bendera Islam, sebesar-besar kekuatan pun tidak dapat menahannya dan sebesar-besar kezaliman pun tidak dapat menghalangnya daripada menyebarkan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan