Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Carian Kisah Sahabat Nabi

31 Dis 2008

Kesyahidan Anas Bin Nadhr r.a

Anas Bin Nadhr r.a ialah seorang sahabat yang tidak dapat menyertai peperangan Badar. Beliau sedih tentang perkara itu dan mengutuk dirinya dengan berkata, “Badar ialah peperangan yang pertama dan agung dalam Islam engkau sedangkan tidak dapat menyertai peperangan itu,”

Beliau bercita-cita sekiranya ada peperangan lain maka beliau akan tunaikan tuntutan semangatnya. Secara kebetulan peparangan Uhud pun tiba maka beliau telah menyertai peperangan itu dengan penuh kepahlawanan dan keberanian. Dalam peperangan Uhud, orang Islam telah menang pada permulaan perang itu. Tetapi akaibat 1 kesilapan, orang Islam akhirnya kalah. Kesilapan tersebut berlaku begini. Rasulullah S.A.W telah menetapkan beberapa orang di sebuah bukit yang tertentu dengan bersabda, “Selagi saya tidak beri arahan, kamu jangan tinggalkan bukit itu kerana musuh mungkin akan menyerang dari tempat itu,”

Orang-orang Islam telah menang pada mulanya. Kemudian apabila tentera-tentera yang berada di atas bukit melihat orang kafir melarikan diri maka kebanyakan mereka telah turun dari bukit itu dengan menyangka bahawa peperangan sudah berakhir. Oleh sebab itu, mereka berlari-lari mengejar orang kafir untuk mendapatkan harta rampasan. Ketua jemaah tersebut telah melarang dengan berkata, “Ini ialah larangan Rasulullah S.A.W, kamu jangan tinggalkan tempat ini.

Walaupun bagainmanapun, mereka menyangka bahawa perintah Nabi hanya semasa pertempuran sahaja. Oleh itu, nereka turun dari tempat tersebut dan menuju ke medan. Semasa melarikan diri, orang kafir ternampak yang bukit itu telah dibiarkan kosong lalu mereka pun datang dari arah tersebut dan membuat serangan. Pada ketika itu orang kafir telah melancarkan serangan mengejut dan ini menyababkan orang Islam rasa tertekan. Tambahan pula, orang Islam berada ditengah-tengah orang kafir yang menyerang dari kedua-dua arah. Oleh sebab itu, mereka lari tidak tentu hala.

Anas r.a telah ternampak seorang sahabat, Sa’ad Bin Ma’az r.a datang dari arah hadapan. Beliau berkata, “Wahai Sa’ad, ke mana engkau hendak pergi? Demi Allah, keharuman syurga sedang datang dari arah bukit Uhud”

Setelah berkata demikian, beliau menyerbu ke arah kumpulan orang kafir dengan pedang masih terhunus ditangan. Selagi tidak syahid selagi itu beliau tidak akan pulang. Setelah gugur syahid selagi itu beliau tidak akan pulang. Setelah gugur syahid, didapati badannya telah cedera parah. Terdapat lebih daripada 80 liang luka pada badannya akibat terkena pedang dan anak panah. Saudara perempuan beliau sahaja yang dapat mengenalinya melalui hujung jari beliau.


Keterangan

Orang yang terlibat dengan kerja-kerja Allah S.W.T (kerja Agama) dengan ikhlas dan keinginan yang sejati akan dapat merasai kelezatan syurga dalam dunia ini lagi. Anas r.a mencium bau syurga semasa hidup di dunia lagi. Sekiranya kita juga menjadi orang yang ikhlas maka kelazatan syurga akan dikecapi di dunia ini lagi.

30 Dis 2008

Perjalanan Nabi S.A.W ke Taif.

Setelah mendapat tugas kenabian. Nabi S.A.W menjalankan usaha dakwah di Mekah selama 9 tahum dan terus berusaha demi petunjuk dan islah kaum baginda. Di kalangan orang yang menolong Baginda S.A.W terdapat hanya segolongan kecil daripada mereka yang telah menerima Islam serta segelintir orang yang masih belum memeluk Islam. Kebanyakan orang kafir Mekah berusaha sedaya upaya untuk menyusah dan mempersendakan baginda S.A.W serta para sahabat r.anhum dengan berbagai-bagai cara tanpa melepaskan seberang peluang yang ada.


Bapa saudara Rasulullah S.A.W, Abu Talib juga ialah antara mereka yang baik hati walaupun tidak memeluk Islam, dia tetap membantu Baginda S.A.W dalam semua segi. Selepas 10 tahun Baginda menjadi nabi, apabila Abu Talib meninggal dunia, orang kafir pun mendapat lebih banyak peluang untuk menghalang penyebaram Islam dan menyeksa orang Islam dengan berbagai-bagai cara secara terbuka. Nabi S.A.W telah pergi ke Taif dengan anggapan bahawa di sana ada kabilah Thaqif yang ramai bilangannya. Sekiranya kabilah tersebut memeluk Islam maka kaum muslimin di Mekah akan mendapat keselamatan daripada segala kesusahan tersebut dan Taif akan menjadi pusat penyebaran Islam.


Setelah tiba di sana, baginda telah berbicara dengan 3 pembesar yang dianggap tinggi darjatnya, Baginda menyeru mereka kepada agama Allah S.W.T dan berusaha menarik perhatian mereka untuk membantunya. Walau bagaimanapun, mereka bukan sahaja tidak menerima ajaran Baginda sebaliknya telah menjawab secara kasar dan tidak berakhlak sekali. Sekurang-kurangnya mereka patut melayan tetamu yang baru datang dengan baik sekali sesuai dengan sifat suka melayan tetamu yang memang termasyhur dikalangan bangsa Arab. Sebaliknya mereka telah menjawab secara kasar. Mereka juga tidak rela Nabi S.A.W tinggal di sana. Baginda menganggap mereka yang merupakan pembesar kaum ialah orang yang baik dan akan bercakap dengan sopan tetapi salah seorang daripada mereka telah berkata, “Hoi! Engkaukah orangnya yang Allah S.W.T hantar sebagai nabi?”

Orang yang kedua pula berkata, “Tiadakah orang lain daripada kamu yang Allah S.W.T temui untuk diutus sebagai nabi?”


Orang yang ketiga pula berkata, “Aku tidak ingin bercakap dengan kamu. Kerana kalaulah kamu sememangnya Nabi sebagaimana didakwa maka mengingkari percakapanmu mendatangkan musibah dan sekiranya kamu seorang pendusta, aku tidak ingin bercakap dengan orang seumpama itu,”


Apabila Nabi S.A.W tiada menaruh harapan lagi terhadap pembesar-pembesar itu, Baginda cuba berckap-cakap pula dengan orang lain kerana Nabi seorang yang mempunyai hemah dan kecekalan seumpama gunung. Malangnya tiada seorang pun yang sanggup menerima. Bukan sahaja mereka tidak menerima bahkan mereka telah berkata kepada Nabi S.A.W, “Keluarlah dari bandar kami ini serta-merta. Pergilah ke mana-mana yang kamu suka..”


Apabila Baginda sedih langsung tiada menaruh harapan lagi terhadap mereka maka Nabi S.A.W telah memulakan langkah untuk pulang. Mereka telah menghantar budak-budak untuk mengejar, mengejek, mempersendakan dan melontari Baginda S.A.W dengan batu hinggakan kedua-dua kasut dilumuri dengan darah yang mengalir. Dalam keadaan itulah Nabi S.A.W pulang.


Apabila Baginda sudah selamat daripada pengacau-pengacau tersebut Nabi berdoa:

“Ya Allah, Kepada-Mu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya-upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin. Engkaulah Tuhan orang yang ditindas. Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasai aku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatmu sudah cukup buatku. Aku berlindung dengan nur wajah-Mu yang menerangi segala kegelapan dan teratur di atas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. Kepada-Mu aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada seberang daya (untuk melakukan kebaikan dan tiada upaya untuk meninggalkan kejahatan) kecuali dengan-Mu”


Dengan doa sedemikian, bersemaraklah sifat qahhar Allah S.W.T, Raja segala kerajaan. Lalu Jibrail a.s datang memberi salam dan berkata, “Allah S.W.T telah mendengar perbualan kaum itu dengan Tuan dan telah mendengar jawapan mereka serta menghantar 1 malaikat yang bertanggungjawab ke atas gunung-gunung. Perintahkan sahaja malaikat itu supaya melakukan apa-apa yang tuan kehendaki.”

Selepas itu, malaikat tersebut memberi salam dan berkata, “Saya akan menunaikan segala yang diperintahkan oleh Tuan, sama ada diperintahkan supaya saya melagakan bukit-bukit di kedua-dua arah supaya mereka semua akan hancur atau apa-apa sahaja hukuman yang tuan tetapkan”


Baginda S.A.W ialah seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan. Nabi telah memberi jawapan, “Aku tetap menaruh harapan kepada Allah S.W.T bahawa walaupun mereka ini tidak memeluk Islam, pasti akan lahir orang yang akan menyembah Allah S.W.T dan beribadat kepada-Nya dikalangan anak-anak mereka”

Keterangan

Inilah dia akhlak peribadi mulia seorang yang kita kononnya berbangga-bangga menjadi pengikutnya. Sebaliknya apabila kita sendiri mengalami kesusahan atau kita dilempari kata-kata kesat maka akan menjadi begitu marah sehingga kita menaruh perasaan dendam yang tidak padam-padam seumur hidup kita terhadap orang yang telah yang telah menyakiti kita. Kezaliman demi kezaliman.kita lakukan keatasnya sedangkan kita mengaku yang kita ialah pengikut Nabi Muhammad S.A.W yang mengikuti jejak langkah Baginda. Setelah menanggung kesusahan dan penderitan yang begitu dahsyat Nabi sendiri tidak pun mendoakan keburukan ke atas mereka dan tidak juga mengambil sebarang tindak balas.

29 Dis 2008

Muqadimah Selamat Datang

Assalamua’alaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat Datang ke blog ini. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada suadara/saudari yang telah dipilih Allah untuk melawat blog ini.Al-Hamdullilah dan bersyukur. Saudara/saudari pasti sudah tahu nama sahabat Nabi Muhammad S.A.W seperti Abu Bakar As-Siddiq r.a, Umar bin Al-Khatab r.a, Othman bin Affan r.a, Ali Bin Abi Talib r.a, Abdurrahman Bin Auf dan lain-lain lagi yang sama-sama berjuang bersama Baginda S.A.W

Blog ini bertujuan menyampaikan beberapa kisah sahabat Nabi yang dipetik dari sebuah buku yang amat tebal bertajuk “Kisah-kisah Para Sahabat” yang dikarang oleh Syaikhul Hadith Maulana dan Muhammad Zakariya Rahimatullahi ‘Alaih. Diterjemahkan oleh Lujnah Terjemahan Madrasah Mitfahul ‘Ulum di Seri Petaling terbitan Era Ilmu Sdn Bhd. Buku itu amat sukar didapati dan saya membacanya pun di Masjid.

Boleh dikatakan kulit buku itu telah tiada dan muka surat depan pun sudah koyak. Bimbang suatu hari nanti kisah sahabat Nabi di buku tersebut tidak dapat dibaca oleh generasi akan datang memandangkan cerita Nabi Muhammad orang boleh terlupa apalagi kisah Para Sahabat yang dirahmati Allah. Buku tersebut sangat bagus dan jangan pula dipertikaikan Jadikannya sabagai mendidik kita menuju keredhaan Allah.

Tujuan lain ialah kebimbangan pada zaman sekarang yang semakin runcing tentang sosial maka terlintas di hati untuk menaip beberapa cerita tersebut khususnya tentang para sahabat yang muda dan juga sedikit tentang amalan agama wanita-wanita mereka. Jika sauadara/saudari gemarkan cerita-cerita, membaca kisah tersebut boleh dijadikan sebagai ganti cerita donggeng seperti Cinderella,Snow White, sebagainya serta kepada cerita yang sia-sia lagi dusta.

Kisah Sahabat Rasullulah S.A.W boleh diperdengarkan kepada anak-anak umpama ‘Bedtime Story’ maka dapat mewujudkan keagungan dan kecintaan terhadap Nabi dan sahabat dalam hati mereka serta kegemaran dalam hal-hal agama. Maka masalah sosial sedikit sebanyak dapat diatasi.

Penuhi masa lapang anda melawat blog ini. Tidak syak lagi ada cerita dan hal ehwal Para Sahabat Nabi yang sepatutnya diselidiki dan dikaji supaya diambil pengajarannya. Khususnya para Sahabat r.anhum yang telah dipilih oleh Allah untuk bersahabat dengan Nabi-Nya yang dikasihi.

Kisah atau cerita ialah salah satu daripada tentera Allah yang dapat menguatkan sanubari orang-orang yang sedang berlatih menuju Allah.

Firman Allah:

“Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami Ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman”

Surah Huud Ayat 120

Lihat http://www.alquran-digital.com

Perkara ini bukan perkara cukup dengan sekali baca kemudian dilupakan. Perkara ini perlu diulang berkali-kali sesuai dengan kemampuan masing-msing. Lebih mantap Saudara/saudari ‘copy and paste’ di ‘Microsoft Word’ kemudian cetak (print) atau kumpul semua cerita pada satu fail.

Ada 149 kisah sahabat Nabi termasuk kanak-kanak dan 12 bab dalam buku tersebut. Mulai esok bermula cerita Perjalanan Nabi S.A.W ke Taif. Selepas ini 2 hari sekali post supaya suadara/saudari dapat membaca cerita yang indah penuh keajaiban akhlak yang mulia.